Hukum Memakai Kopiah, Songkok dan Serban

Memakai serban dan kopiah adalah sebahagian daripada Sunnah Nabi, ini berdasarkan sabdanya:
Sabda Rasulullah SAW:
دخل النبي صلى الله عليه وسلم مكة يوم الفتح و عليه عمامة سوداء
Maksud: “Nabi SAW memasuki Kota Mekah sewaktu pembebasan Mekah, baginda memakai serban hitam”.
Pemakaian
serban dan kopiah sudah sinonim dalam masyarakat Islam di seluruh dunia
dan ia juga telah dijadikan amalan seharian masyarakat walaupun di luar
urusan ibadah terhadap Allah. Justeru itu, adalah sukar bagi sesetengah
individu untuk menukar pemakaian serban dan kopiah kepada pemakaian
songkok seperti yang biasa dipakai oleh segelintir masyarakat Melayu.
Telah menjadi budaya masyarakat Islam setempat mengamalkan cara pemakaian songkok atau kopiah mengikut tempat :
a. masyarakat Melayu Islam sebelah Pantai Timur memakai kopiah putih dan serban.
b. masyarakat Melayu Islam sebelah Pantai Barat memakai songkok hitam.
Pada
asalnya, kopiah dan songkok itu adalah sama dari segi rupa, bentuk dan
warna (berwarna putih atau hitam). Sementara serban pula dipakai bersama
dengan kopiah mengikut amalan Rasulullah S.A.W. Setelah perubahan zaman
sehingga Zaman Uthmaniyah, bentuk songkok diubahsuai menjadi tarbus.
Kini, songkok dalam budaya Melayu difahami dengan rupa hitam dan keras.
Manakala, kopiah difahami dengan warna putih dan lembut.
3 PANDANGAN ULAMA’
3.1 PANDANGAN ULAMA’ TERHADAP SERBAN & KOPIAH
Firman Allah Taala dalam Surah Al-A’raf ayat 31
“Wahai
anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada setiap
kali kamu ke tempat ibadah ( atau mengerjakan sembahyang ) dan makanlah
serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau-lampau; sesungguhnya Allah
tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”.
Menurut Imam al-Mawardi, maksud
berhias di dalam sembahyang ialah memakai secantik-cantik pakaian .
Manakala menurut pendapat Imam Abu Hayyan, zahir ayat di atas
menunjukkan bahawa berhias dengan secantik-secantik pakaian (termasuklah
memakai songkok dan berserban) bukan sahaja dituntut di dalam
sembahyang bahkan di luar waktu sembahyang (setiap masa dan ketika) .
Menurut
Sheikh Mahmud Syaltut, ketika memberi jawapan kepada soalan berhubung
dengan sembahyang tanpa serban, kopiah atau songkok di kepala, beliau
berpendapat tidaklah menjadi syarat sah sembahyang dengan menutup kepala
atau tidak dan tidak pula disyaratkan jikalau untuk menutup kepala
mesti dengan penutup khas. Walaupun begitu, bagi seseorang Islam eloklah
dia bersembahyang dengan memakai serban, kopiah atau songkok dengan
syarat tidak menutup dahi ketika sujud.
At- Tarmizi dan Muslim meriwayatkan daripada Ja’far bin ‘Amrin bin Huraith, daripada bapanya katanya:
رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم وعليه عمامة سوداء قد أرخى طرفيها بين كتفيه
Maksud:
“Aku melihat Rasulullah SAW di yang memakai serban hitam di mana
Baginda melabuhkan kedua hujungnya di antara dua bahunya”.
Berkata
pengarang kitab Al-Mishbah : Hassan bin Ali dan Ibnu Zubair pernah
memakai serban hitam ketika berkhutbah dan begitu juga Anas, Muawiyah,
Ammar dan lain-lain lagi. Dan adalah Sa’id bin Musayyib memakai serban
hitam pada hari raya puasa dan haji.
Berdasarkan yang demikian,
sebahagian ulama berpendapat tidak perlu mengkhususkan dirinya dengan
memakai serban hitam sama ada hari Jumaat atau hari-hari yang lain.
Berkata
Imam Nawawi : “Memakai warna putih adalah lebih utama. Dan serban putih
adalah lebih sesuai sebagai perhiasan para ulama’ pada zaman ini”.
Muslim, At-Tirmizi dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada Jabir R.A. katanya :
إن النبي صلى الله عليه وسلم دخل مكة وعليه عمامة سوداء
Maksud : “Bahawasanya Nabi S.A.W. memasuki kota Makkah dengan memakai serban hitam.
Dalam
hadis Jabir R.A. di atas, Rasulullah SAW memasuki kota Makkah dengan
memakai serban hitam dan hadis ini tidak pula menyebutkan adanya ekor
serban di antara kedia-dua bahu baginda.
Berkata Ibnu Qayyum :
Hadis Jabir ini menunjukkan Baginda SAW tidak selamanya menjuntaikan
ekor serban baginda. Selain daripada itu, Baginda juga terkadang
melilitkan sebahagian serban itu ke bawah dagu, yang di antara tujuannya
ialah menjaga supaya serban itu tidak jatuh dari kepala. Dan
tercapailah tujuan memakai serban itu dengan mana-mana cara sekalipun.
Menurut
Sheikh Muhammad Rasyid Reda, erti serban sebagaimana yang telah
disebutkan oleh sesetengah orang ialah setiap apa yang diikat di kepala
sama ada di bawah kopiah, atau di atas songkok, atau yang dililitkan ke
atas kopiah, atau sebagainya.
Sheikh Muhammad Rasyid Reda pernah
ditanya adakah memakai serban itu sunnah rasulullah SAW dan adakah orang
yang memakai serban itu mendapat pahala. Untuk menjawab soalan itu,
beliau memberikan jawapan berikut :
”Telah tsabit dalam hadith bahawa Nabi SAW terkadang :
1. memakai serban di atas kopiah, dan inilah sering berlaku
2. memakai serban tanpa kopiah
3. memakai kopiah tanpa serban
Di
akhir jawapannya, beliau berkata: Walaupun tidak ada datang perintah
atau sumber hukum (yang kuat) supaya mewajibkan memakai serban atas
dasar sebagai salah satu hukum agama dan syariat, tetapi barangsiapa
yang memakainya dengan niat menyerupai cara Rasulullah SAW berpakaian
dan sebagai tanda kasih kepada Baginda SAW, tentulah niat ini mendapat
ganjaran pahala.”
Sabda Rasulullah SAW:
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يلبس العمامة على القلانس
Maksud : “Sesungguhnya Rasulullah SAW memakai serban bersama kopiah”.
Imam
Sayuti Rahimahullah berkata : “Apa yang disebutkan di atas menunjukkan
bahawa yang dipakai oleh Nabi SAW dan sahabat RA di bawah serban ialah
al-Qalansuah atau kopiah. Kalimat Kopiah yang disebutkan pula
menunjukkan bahawa ianya adalah lebih menyerupai sesuatu yang diperbuat
dari jenis kain kapas dan bulu.
Al-Baihaqi pernah meriwayatkan
daripada Ibnu Umar bahawa Nabi SAW memakai kopiah putih. Ini menjelaskan
bahawa pemakaian kopiah juga adalah sunnah Rasulullah SAW.
Kesimpulannya
Sesungguhnya menurut kajian para ahli dan pentahqiq hadith, tidak ada
satu pun hadith yang sahih mahupun hassan mengenai KEUTAMAAN/KELEBIHAN
memakai serban
melainkan disebut di dalam hadith-hadith bahawa Rasulullah memakainya.Dan sifat
hadith-hadith yang disebutkan di atas bertentangan dengan hadith mutawatir yang
lain.
3.2 PANDANGAN ULAMA’ TERHADAP SONGKOK
Songkok
harus dipakai kerana tidak bertentangan dengan Islam dan ia merupakan
pakaian kebiasaan yang dipakai oleh masyarakat Melayu terutama semasa
solat dan dipakaikan bersama Baju Melayu. Asasnya kerana ia berkonsepkan
sebagai penutup kepala. Perbuatan menutup kepala bagi lelaki adalah
Sunnah Nabi berdasarkan mafhum hujah berikut:
Menurut Imam
As-Sayuti yang diringkaskan dari buku ”Al-Hawi”nya (2:111-112) :
Berdasarkan keterangan lalu, Nabi Muhammad SAW pernah memakai kopiah
putih dan begitu juga Anas bin Malik RA. Dipadankan juga daripadanya
bahawa sekiranya serban atau kopiah tidak ada, Nabi SAW tidak akan
membiarkan kepala Baginda yang mulia terdedah begitu sahaja, akan tetapi
Baginda akan membalutnya sehingga sampai ke dahi”.
Berdasarkan
pendapat Imam Sayuti di atas, pemakaian songkok adalah diharuskan
sebagai satu konsep menutup kepala sebagaimana yang dilakukan oleh
Rasulullah SAW yang tidak akan membiarkan kepala Baginda yang mulia
terdedah begitu sahaja tanpa penutup kepala.
Berdasarkan kepada
hujah Imam Sayuti sebelum ini berkenaan dengan maksud Qalansuah (bahawa
ianya adalah lebih menyerupai sesuatu yang diperbuat dari jenis kain
kapas dan bulu), songkok juga boleh dikategorikan sebagai Qalansuah.
RUMUSAN / KESIMPULAN ISU
Berdasarkan
kepada hujah-hujah atau dalil-dalil di atas jelaslah bahawa pemakaian
serban dan kopiah adalah merupakan sunnah Rasulullah SAW. Ia perlu
dihayati setiap masa sama ada di dalam atau di luar solat. Di samping
ianya menunjukkan ketaqwaan, kehebatan, kewibawaan, keilmuan si
pemakainya.
Berdasarkan fakta di atas juga pemakaian songkok juga
diharuskan kerana tidak ada sebarang percanggahan dengan hukum Islam
dan ianya berkonsepkan penutup kepala seperti serban dan kopiah. Ia
merupakan budaya masyarakat setempat di mana mereka memakai songkok
ketika beribadah dan ketika menyambut hari-hari kebesaran Islam.
Merujuk
kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.7/2001 (Garis Panduan Pakaian Guru
Ketika Bertugas di Sekolah bertarikh 7hb Jun 2001), pihak Kementerian
Pelajaran Malaysia menggalakkan pemakaian songkok untuk menunjukkan
keseragaman dalam berpakaian kepada penjawat awam semasa bertugas atau
menjalankan urusan rasmi.
Adalah diharapkan pegawai &
kakitangan KPM mematuhi pekeliling dengan menyeragamkan pemakaian
songkok kerana ia tidak bercanggah dengan syariat Islam disamping
mentaati dan mematuhi Ulil Amri
Walaubagaimanapun sekiranya
pegawai & kakitangan KPM ingin memakai serban dan kopiah , bolehlah
berbuat demikian di luar tugas rasmi.
Sekiranya individu muslim
itu tidak memakai songkok,ianya tidak menjejaskan keimanan, ketaqwaan ,
kehebatan dan kelimuan individu tersebut. Namun, pemakaiannya adalah
lebih baik.
Pemakaian songkok juga diharuskan dengan syarat ia
bersih dari sebarang kekotoran dan najis. Ciri-ciri utama pakaian
Rasulullah S.A.W ialah menutup aurat, tidak bermegah-megah, tidak
tasyabbuh (menyerupai) pakaian agama lain disertai dengan iman, ihsan
dan taqwa. Itulah pakaian Islam. Tidak tertakhluk kepada jubah atau
serban sahaja.
Mengenai alasan songkok tidak boleh dibasuh
apabila terkena najis, itu bergantung kepada penjagaan seseorang.
Manakala alasan songkok yang lama tidak dibasuh adalah najis adalah
disandarkan kepada syak dan waham semata-mata. Sedangkan kaedah sebenar
usul fiqh “keyakinan tidak boleh dihilangkan dengan syak”.
No comments:
Post a Comment